Saturday 12 November 2011

IMAN....kisah seekor semut

Setiap dari kita pastinya tahu tentang rukun Iman.Setiap dari kita pasti juga marah jika diklasifikasikan sebagai manusia tidak beriman. Iman begitu penting bagi kita. Setiap dari kita pasti ingin menjadi manusia yang beriman, bertaqwa dan mencintai Allah dengan sepenuh hati.
Kita sebenarnya boleh mengukur tahap iman yang kita banggakan sendiri tanpa menyuruh orang lain mengukurnya. Jika orang lain mengukurnya pasti ia tidak tepat kerana dalam konteks ini hanya diri kita dan Allah S.W.T sahaja yang tahu berapa besarnya saiz keimanan kita.

Ada satu kisah di zaman Nabi Sulaiman a.s  yang mungkin ramai di antara kita telah mengetahuinya dan mungkin juga kita boleh menilainya dari perspektif yang berbeza. Nabi Sulaiman a.s terkenal kerana mampu berbicara dengan pelbagai makhluk. Dia juga ditakuti oleh jin dan boleh memerintah angin.

Pada suatu ketika, tatkala baginda berjalan, baginda melihat seekor semut sedang mencari-cari makanan di atas batu. Memikirkan keadaan semut yang mencari makanan di atas batu, baginda menjadi hairan kerana manakan ada makanan di atas batu kering di tengah padang pasir yang hangat membakar. Lalu baginda bertanya kepada sang semut untuk mendapatkan kepastian apakah yang sebenarnya dicari olehnya.

Tanya baginda kepada semut, “Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan yang cukup untuk kamu di sini ”. Mendengar pertanyaan seorang nabi Allah, maka sang semut tanpa membuang masa menjawab “Wahai nabi Allah, sesungguhnya rezeki itu di tangan Allah, aku amat percaya yang rezeki itu sememangnya ditangan Allah, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang kering kontang ini pasti ada rezeki untuk ku”.

Terpana dengan jawapan sang semut,Nabi Sulaiman a.s bertanya kepadanya, apakah makanan kegemaran sang semut dan berapa banyakkah makanan yang diperlukan olehnya selama sebulan untuk hidup. Semut memberitahu dengan jujur bahawa dia hanya memerlukan sebutir gandum untuk sebulan.

Dengan penuh gembira Nabi Sulaiman a.s mencadangkan buah fikirannya kepada sang semut. “Jikalau hanya sebutir sebulan mencukupi pada engkau maka aku mampu menolong engkau. Engkau kini tidak perlu lagi untuk mencari sebutir gandum di atas batu”.

Baginda kemudian mengambil sebuah bekas untuk sang semut tinggal dan diletakkannya sebutir gandum agar dapat menyenangkan sang semut tanpa perlu berusaha dengan penat hanya untuk sebutir gandum. Lalu dibiarkan semut tersebut selama sebulan dan apabila cukup sebulan maka baginda datang kembali untuk memberi sebutir lagi gandum untuk bulan yang akan datang.

Namun alangkah terkejutnya baginda apabila mendapati semut tersebut hanya makan setengah butir dari gandum yang diberi sebulan dahulu dan bukan seperti yang diberitahu. Melihat keadaan demikian lalu Nabi Sulaiman a.s berkata “Pembohong kamu! Sebulan yang lalu kamu memberitahu yang kamu perlukan sebutir gandum sebulan tetapi setelah sebulan kamu sebenarnya hanya makan setengah butir dan bukannya sebutir”.

Semut yang sentiasa jujur kepada dirinya dan orang lain terus memberitahu baginda “Benar aku bukan pembohong  dan aku tidak berbohong, jika aku mencari di atas batu maka aku pasti makan apa yang ada hingga menyamai jumlah sama seperti sebutir gandum selama sebulan. Ini kerana makanan tersebut aku sendiri mencarinya dan rezeki itu datangnya daripada Allah s.w.t dan Allah s.w.t tidak pernah lupa padaku walau sesaat.

“Namun apabila aku kamu letakkan dalam sebuah bekas yang kemudiannya kamu tutup maka rezeki aku kini bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, justeru itu aku hanya makan setengah sahaja supaya ia dapat bertahan selama dua bulan. Aku takut kamu lupa tentang makanan aku”.

Nabi Sulaiman a.s diam dan menginsafi dirinya. Begitu hebat seekor semut yang dapat memberi satu gambaran baru kepada seorang nabi Allah dalam perspektif kehidupan. Walau tubuhnya kecil dan tidak sebesar manusia, walau akalnya tiada tidak seperti manusia yang mempunyai akal untuk berfikir, sang semut amat yakin kepada Allah s.w.t  yang mencipta dan menjaganya.

Ini amat berbeza dengan manusia yang tubuhnya jauh berganda besar dari semut, otaknya jauh lebih hebat dari seekor semut tetapi malangnya kebergantungannya dengan Tuhan yang Maha Mencipta dan Maha Menjaga tidak langsung dipedulikan.

“Be satisfied in joy, there is honor therein”

“Seek what you wish from God,not from men”