Sunday 13 November 2011

Nukilan : Tidak Mudah Tapi Terasa Indah


Tidak MUDAH  tersenyum ketika hati menangis dan terhiris,
Tapi akan terasa INDAH ketika kita menyedari itu adalah sebahagian dari kasih Ilahi,
Agar Allah memindahkan kebaikan-kebaikan orang yang menyakiti kita.

Tidak MUDAH bangkit dalam keadaan yang lemah,
Tapi akan terasa INDAH ketika kita menyedari bahawa Allah sedang menyapa dengan cinta-Nya,
Agar kita sentiasa tabah dan kuat.

Tidak MUDAH memberi ketika diri sendiri dalam kekurangan,
Tapi akan terasa INDAH ketika kita dapat membahagiakan orang lain,
Agar diri akan terasa lebih bahagia.

Tidak MUDAH memaafkan ketika kita dibenci dan dihina,
Tapi akan terasa INDAH kalau itu adalah sebahagian daripada penyucian diri,
Agar diri kita Ikhlas dalam menggapai redha Ilahi.

Tidak MUDAH melupakan kegagalan ketika kita masih bersedih memikirkannya,
Tapi akan terasa INDAH ketika kita menyedari itu adalah permulaan dari kejayaan kita.

Tidak MUDAH melupakan masa lalu yang menyakitkan,
Tapi akan terasa INDAH ketika menyedari itulah jalan yang harus ditempuhi,
Untuk mengecapi kebahagiaan yang akan diberikan Allah sebagai pengganti.

Tidak MUDAH menghilangkan duka kerana kehilangan,
Tapi akan terasa INDAH ketika menyedari  bahawa,
Allah telah meminjamkan kepada kita beberapa saat sebelum kita pula dijemput pulang.

Tidak MUDAH menghadapi penderitaan dan cubaan yang terus mendera,
Tapi akan terasa INDAH ketika kita mencuba bersabar dan bersyukur,
Lantas menyedari itu adalah sebahagian daripada cara Allah menyayangi hambaNYa,
Seperti Allah menyayangi para Nabi dan Rasul-Nya..

Tidak MUDAH tapi akan terasa INDAH nya sekiranya kita sentiasa berpegang kepada ALLAH yang Esa
 

Slot Akasia "TENTANG DHIA" di TV3

 Haaa...hari nie aku nak kongsikan pasal citer terbaru kat slot akasia di TV3 yang menggantikan citer "Sofiyya" lakonan Tiz Zaqyah,Fizo Omar & Izara Aisyah..Citer Tentang Dhia nie baru jer main 9/11/2011 hari Rabu tue jam 7 malam...aku sempat gak la tengok citer nie...Intro yang menarik dan membuatkan aku tertunggu2 akan episod yang seterusnya.....Tengok pada sinopsis pasal citer cinta 3 segi....wahhhhh....mesti best dan menyedihkan....Can't waittttt!!!! Hope citer nie tak menghampakan hati aku ler...hehe..meh aku kongsikan sikit sinopsis pasal citer nie...

Sinopsis cerita Tentang Dhia:

Bermula kisah sedih cinta tiga segi antara Dhia lakonan Nora Danish dan dua orang lelaki yang sangat dicintainya, Raffi (lakonan Irfan Roslan) dan Azmi (lakonan Ako Mustapha). Raffi dan Azmi dua lelaki berbeza daripada dua latar belakang. Dhia dicemburui oleh Melly (Izreen Azminda) kerana Dhia menjadi rebutan dua lelaki tersebut.

Dhia seorang gadis kampung yang disukai ramai kerana perwatakan yang ayu, lembut dan cantik. Dhia sudah lama jatuh hati kepada Azmi lakonan Ako seorang  anak kepada Imam di kampung dan bekerja sebagai kerani biasa saja seorang yang disukai ramai kerana sifat rendah diri dan pandai mengambil hati. Manakala Raffi seorang pemuda yang berasal dari keluarga kaya dan berkelulusan dari luar negara menjadi teman rapat Dhia.

Dhia bakal melangsungkan pertunangan dengan Azmi, Raffi sedih , namun tetap redha dengan keputusan Dhia walaupun dia masih mencintai Dhia.

Kisah sedih Dhia bermula apabila Melly cuba memerangkap Raffi  dengan memaksa Raffi menidurinya dalam keadaan mabuk. Melly mengandung tapi Raffi tidak mahu bertanggugjawab. Tertekan dan terdesak, Melly memerangkap Azmi pula dan akhirnya mereka ditangkap khalwat oleh penduduk kampung.

Dhia terkejut dan kecewa amat sangat apabila mengetahui tentang hal itu, lebih lebih lagi majlis pertunangan sudah hampir. Dhia yang jujur dan baik hati sanggup memaafkan Azmi dan mereka bertunang juga akhirnya. Melly tak mengaku kalah dia menyerang Azmi semasa majlis pertunangan dan mahu Azmi bertanggungjawab. Melly berjaya disatukan dengan Azmi tanpa kerelaan Dhia.

Dalam keadaan masih sedih mengenangkan nasibnya, hidup Dhia didatangi Zikir seorang arkitek daripada sebuah firma di Kuala Lumpur. Perkenalan Zikir dengan Dhia bermula apabila Zikir berkunjung ke kampung Dhia kerana Zikir menziarahi pengebumian  kawan baiknya,Fendi setelah mereka berdua terlibat dalam kemalangan jalan raya. Di situlah Zikir jatuh cinta pandang pertama dengan Dhia, setelah terpesona dengan keayuan Dhia. Zikir sebenarnya digilai oleh Rose (lakonan Tasha Shila).

Selepas Dhia kehilangan Azmi dapatkah Zikir merebut hati dan cinta Dhia, adakah cinta Dhia dan Zikir akan terhalang lagi dengan kehadiran Rose pulak? Ok sama sama nantikan drama Akasia Tentang Dhia , 26 episod di TV3 jam 7 malam.

Nie plak sedikit koleksi gambar dari slot tersebut...layanzzz (^^,)





Nora Danish sebagai Dhia
Adi Putra sebagai Zikir


 Dhia dan Raffi sewaktu kecil







~Sekilas Pelayaran~

 Hadirnya insan bernama manusia dalam hidup silih berganti. Ada antaranya yang amat diperlukan, amat dihargai. Juga antaranya, tidak dijangkakan.

Apakah maksud kehadiran seorang lelaki dalam hidup seorang wanita? Begitu juga sebaliknya. Di saat tidak perlukan teman daripada kalangan bukan sejenis, telah didatangkan pada kita.
Ya, ujian barangkali. Namun, waktu itu, sukar untuk kita berpijak pada nyata. Lalu ternoda dek arus yang datang pada saat itu. Terlupa bahawa tidak semua yang Allah berikan itu adalah suatu takdir, boleh jadi ia didatangkan sebagai ujian semata.

Namun, kerana terlalu muda untuk memahami setiap pemberian daripada Allah itu berbeza maksudnya. Lalu terjerumuslah kita ke dalam lembah yang menggelapkan kesucian kita sebagai hamba-Nya. Hamba-Nya yang sebelum ini mendambakan kasih hanya pada-Nya. Hamba-Nya yang sebelum itu sangat menjaga kesucian diri dan maruah diri. Tetapi, tidak lagi selepas itu.
Kehadiran setiap individu dalam hidup ini perlu dinilai dari aspek yang berbeza. Ada yang baik untuk kita, dan mungkin juga sebaliknya. Kerana Allah itu sentiasa menduga keimanan hamba-hamba-Nya. Sejauh mana kita benar-benar berpegang pada prinsip ketaatan kita pada-Nya.
Nikmatnya sangat besar. Sama besar dengan ujian yang didatangi-Nya. Mungkin pemberian-Nya membuatkan kita gembira, bahagia, dan kita mula leka kembali dengan nikmat itu. Sedangkan ia mungkin hanya ujian kedua sama seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Juga, kebarangkalian itu merupakan suatu balasan pada titik-titik noda yang pernah kita hadapi sebelumnya. Konsep kehidupan. Tidak semudah itu kita bisa merungkaikan apakah maksud sebenar akan sesuatu pemberian daripada Allah.

Mungkin sesuatu yang kita suka itu tidak baik untuk kita. Ia mungkin dilihat dapat membahagiakan jiwa namun sebaliknya, berkemungkinan ia akan memakan sedikit demi sedikit keimanan kita. Pada yang lemah imannya, terus dibuai lena dek kemanisan itu. Tanpa sedikit pun memikirkan kepahitan yang bakal menjelma.
Benarlah;
"Kepahitan itu perit untuk diterjemahkan, namun sekurang-kurangnya kita akan menemui jalan kebaikan setelahnya. Namun, kemanisan itu sangat asyik di pelayaran, sedikit pun kita tidak terfikir ia bakal mengundang kehancuran setelahnya."

Justeru? Apa yang perlu kita lakukan? Semestinya kita perlu muhasabah diri, setiap yang berlaku itu perlu dirujuk semula kepada Allah. Bukan terus saja diambil mentah-mentah dalam hidup kita. Berhati-hati itu lebih baik dari terburu-buru. Namun kita hanya insan biasa. Kadang terlupakan-Nya. Begitulah bak bait-bait lagu Opick dalam ritma iramanya;
"Meski ku rapuh dalam langkah, kadang tak setia kepada-Mu, namun cinta dalam jiwa, hanyalah pada-Mu."

Itulah yang perlu kita terapkan setiap kali kita terlupa akan-Nya. Dia sentiasa bersama kita. Dia lah yang menghidupkan pancaindera kita. Dia yang menguji kita. Dia juga yang membahagiakan kita. Dia yang membuat kita senyum. Dia yang membuat kita menangis.
Itulah tanda kebesaran-Nya. Bisakah kita bahagia tanpa rahmat daripada-Nya? Apa jua bentuk kebahagiaan yang kita peroleh, samada dari material atau rohaniah, semuanya datang daripada-Nya.

Bermuhasabahlah yang akan membawa kita lebih dekat dengan-Nya. Bisakah kita senyum tanpa kebenaran daripada-Nya? Dia sangat kasih pada kita. Cuma kita yang merasa jauh daripada-Nya dan tidak yakin akan kasih sayang-Nya.
Mohon lah disayangi-Nya. Mohonlah dicintai-Nya. Itu sudah cukup untuk membuat kita bahagia. Hati yang terikat pada manusia, tidak akan kekal lama. Malah, lebih banyak keperitan yang dihadapi.

Sedangkan, apabila terikatnya hati kita kepada-Nya, betapa tenangnya jiwa. Betapa indah segala musibah yang menimpa setelah kita diterangi mata hati dengan hikmah-Nya. Musibah itu diberi-Nya dengan pelbagai cara dan rupa. Namun, semuanya adalah untuk kebaikan kita.
Musibahlah yang akan memberi pengajaran dalam hidup kita. Dengan musibah kita akan mula mengenal kehidupan dunia. Setiap dari kita akan ditimpa musibah. Mungkin berlainan rupa namun pengajarannya tetap sama. Agar kita lebih matang, lebih mengenali pencipta kita. Indah bukan? Keindahan hati,  ketenangan hati, keikhlasan hati, itu yang perlu dicari.
InsyaAllah.. jika niat kita suci, ikhlas semata-mata kerana-Nya, Dia akan permudahkan jalan hidup kita. Dia akan tunjukkan jalan untuk kita. Kita hanya perlu meminta dan berusaha untuk mendapatkannya. Jalan yang diredhai-Nya. Jalan yang akan membuat kita bahagia.

"Ya Allah, sungguh dengan mengingati kebesaran-Mu, hati ini lebih tenang, terima kasih Allah. Sayangilah aku, cintailah aku, seperti mana Kau menyayangi umat-umat Mu yang terdahulu sebelumku.. amin.."

kredit to Artikel iLuvIslam

~Saya Malu Nak Jadi Baik~

"Aku dah tak suci lagi. Aku banyak dosa. Terlanjur dah dengan berapa orang lelaki dah. Zina tu dulu perkara biasa bagi aku sebab aku couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku menyesal. Aku rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku rasa diri ini jijik dan teramat kotor,"

"Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal tu adalah sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan. Mengusik dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah sangat. Aku terhimpit,"

"Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,"

Iman Itu Masih Ada.
 Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat.
Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?
Mana lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai Allah. Asal niat betul.

Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah, hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia.
Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?

Pandangan manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat baik, ada orang tidak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga yang tidak suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! Ini bukan marah tetapi tegas dan semangat!.

Create the Future
 Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh. Qada muallaq iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul mahfuz dan kita boleh mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh mana usaha dan doa.

Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang pelajar yang bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu ketika, terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia punya dua peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit antara dua lorong.
Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan meninggalkan tabiat menghisap rokok. Lorong kedua, masih tetap dengan perangai dan tabiat lama. Apakah mungkin jika dia masih berada di lorong kedua, pada masa hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan universiti yang punya sahsiah mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak! Tetapi sebaliknya yang berlaku jika lorong pertama yang menjadi pilihan.

Ini yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri. Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah jalan drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang terbentang. Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang lain. Jika lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti kesudahannya juga begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah sunnatullah.

Buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk diampunkan? Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan mereka dan mereka itu, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya! Bersama air mata taubat seorang hamba!

Motivasi daripada Kisah.
Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi lebih baik.
Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.

Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.

Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik. Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu aktif dalam program keagamaan. Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali, lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya manusia memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?

Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh yang telah membunuh 99 orang.Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.
Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.

Kesimpulan.
Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.
Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.
Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan begini,yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan semangat dan kekuatan. Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh.

kredit to Artikel iLuvIslam